BIDANG SAINS KEMASYARAKATAN


SEUNTAI BICARA GURU KANAN MATA PELAJARAN SAINS DAN KEMASYARAKATAN

AssalamualaIkum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya diberi kesempatan untuk menukilkan bicara alu-aluan dalam blog rasmi SMK Tan Sri Osman Mohd Saat ini. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak, khususnya JK Blog STOMS yang telah berusaha gigih mewujudkan blog yang akan terus menjadi wahana penyampaian informasi kepada semua warga sekolah.

Bidang Sains dan Kemasyarakatan merupakan suatu bidang yang luas merangkumi mata pelajaran Sejarah, Pendidikan Islam, Geografi, Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani, Tasawur Islam, Pendidikan Seni Visual dan mata pelajaran yang berkaitan. Di STOMS, bidang Sains dan Kemasyarakatan sangat mementingkan kecemerlangan dari segi Jasmani, Emosi, Rohaniah dan Intelektual. Untuk merealisasikan kecemerlangan ini, guru-guru Bidang Sains dan Kemasyarakatan sangat komited merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti. Tamsilnya, murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan PT3 dan SPM sudah pasti pelbagai program kecemerlangan diatur. Antaranya, PmP (Practice Make Be Perfect), LoVe SPM & PT3 (Lonjakan Vertikal), Bengkel/Ceramah Menjawab Soalan Peperiksaan, dan  Guide N Motivation. Kesemua program ini dirancang dan diatur dengan sebaik-baiknya agar hasilnya memberi impak yang besar kepada kecemerlangan akademik STOMS.

Dalam pada itu, Bidang Sains dan Kemasyarakatan juga peka dengan pembangunan insaniah dan kerohanian murid-murid. Melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, murid-murid dididik menjadi insan yang bermoral dan berakhlak mulia. Antara program yang diatur dan dilaksanakan seperti Ihyar Ramadan, Membudayakan Al-Quran, Solat Berjemaah, Maulidur Rasul, Pembangunan Insaniah dan banyak lagi. Ditambah lagi dengan Bulan Kemerdekaan, murid-murid ditanam dengan semangat patriotik dan cinta akan negara.

Alhamdulillah, perancangan dan pelaksanaan oleh guru-guru Sains dan Kemasyarakatan telah berjaya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan melahirkan murid-murid yang cemerlang. Pendek kata, komitmen dan kerajinan guru-guru telah mencipta fenomena pembelajaran yang luar biasa. Saya berharap agar guru-guru sentiasa istiqamah ketika memikul dan melaksanakan tanggung jawab sebagai pendidik. Orang tua-tua ada mengatakan “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” dan bak kata peribahasa “Bersatu kita teguh bercerai kita runtuh”. Akhirulkalam, saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun,

Subur Tualang di tanah rata,

Hinggap indah burung pekaka,

Mantap cemerlang pendidikan kita,

Penyuluh hidup sepanjang masa



PN. ZALIPAH BINTI DOLLAH

GKMP Bidang Sains Kemasyarakatan,

SMK. Tan Sri Osman Mohd Sa'at.




















 

No comments:

Post a Comment